KUALA LUMPUR 18 Mac - Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan dakwaan bahawa beliau melakukan konspirasi bagi memastikan calon Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd.Ali Rustam tidak layak bertanding pada pemilihan parti minggu depan sebagai satu tohmahan dan fitnah.
Sambil menafikan dakwaan itu dengan sekeras-kerasnya, Muhyiddin yang turut bertanding jawatan berkenaan berkata, perwakilan seharusnya tidak terpengaruh dengan dakyah tersebut kerana ia seolah-olah mempertikaikan kewibawaan dan kebebasan Lembaga Disiplin UMNO yang menjatuhkan hukuman ke atas Ketua Menteri Melaka itu.
"Kenapa perlu mempersoalkan kewibawaan Lembaga Disiplin, seolah-olah kalau Muhyiddin suruh, dia buat (jatuh hukuman), kalau Muhyiddin tak suruh, dia tak buat. Siapalah saya? Perwakilan kena fikir, mereka tidak harus terpengaruh begitu, apakah Lembaga Disiplin tidak ada status bebas dan berwibawa sehingga mudah terpengaruh dengan orang sekerdil saya ini bagi menentukan hukuman?
"Dalam soal ini, mereka yang terlibat harus lihat pada diri sendiri dan bukannya bila hukuman dijatuhkan maka orang lain disalahkan sedangkan orang yang melakukan perbuatan itu seolah-olah tidak bersalah," katanya dalam pertemuan khas dengan Utusan Malaysia di kediamannya, di sini hari ini.
petikan dari akhbar tempatan