KUALA LUMPUR 18 Mac - Gejala politik wang dalam UMNO perlu dibanteras habis-habisan kerana ia bukan sahaja menjejaskan perpaduan Melayu tetapi boleh menghancurkan negara.
Jika gejala ini gagal dibanteras kepercayaan rakyat terhadap UMNO juga akan hilang.
Presiden Persatuan Pemikir Profesional Melayu Malaysia (PPPMM) Prof. Datuk Dr. Kamarudin Kachar berkata, kepercayaan rakyat terhadap parti yang bertanggungjawab memperjuangkan kemerdekaan negara itu hanya dapat dikembalikan melalui pemilihan pemimpin yang bersih dan berkaliber oleh para perwakilan pada perhimpunan agung hujung bulan ini.
Katanya, calon yang disyaki, terlibat dan telah dikenakan tindakan disiplin serta hukuman oleh Lembaga Disiplin UMNO atas kesalahan politik wang perlu ditolak.
Gejala negatif itu katanya, perlu dihapuskan kerana rakyat memandang hina dan rendah terhadap sesiapa sahaja yang terlibat dengan politik wang.
"Jika tidak dihapuskan, maruah bangsa akan jatuh dan negara akan tergadai.
petikan dari akhbar tempatan