Dengarnya…: Pelakon kena gari di lokasi
BEBERAPA hari lalu, seorang kawan Cik Normah mendapat panggilan telefon daripada lelaki yang mengaku mempunyai cerita hangat untuk ruangan ini. Kawan Cik Normah yang manja itu pun apa lagi, pasanglah telinga sambil pen laju saja menulis apa yang diceritakan pemanggil budiman itu.
Kononnya, si pemanggil itu ada kena mengena dengan sebuah produksi drama. Tujuan dia menelefon kawan Cik Normah itu adalah untuk berkongsi cerita mengenai seorang pelakon yang juga penyanyi, khabarnya digari dan diangkut oleh sepasukan abang polis dari lokasi penggambaran drama berkenaan, ke sebuah balai polis di Shah Alam.
Bukan setakat artis lelaki itu saja yang ditahan, sebaliknya adik lelakinya kena angkut sekali. Khabarnya, kedua-dua lelaki ini terbabit dalam pergaduhan. Lelaki yang dipukul itu pula ialah suami seorang wanita yang kononnya asyik dibawa oleh adik artis terbabit.
Si suami sudah lama bagi amaran supaya mereka tidak mengusung isterinya ke sana sini. Namun, amaran si suami tidak dipeduli. Lalu, si suami pun pasang strategi dengan mengikut adik artis itu dan isterinya ke mana mereka pergi. Akhirnya, dia sampai di kawasan Bukit Jelutong, di mana dia berdepan dengan adik artis itu dan isterinya. Si pelakon tadi pun ada bersama di sana.
Kedua-dua lelaki tadi dikatakan memukul suami malang berkenaan. Tidak puas hati dengan insiden itu, si suami melaporkan kejadian terbabit kepada pihak polis. Dua hari kemudian, si pelakon yang pernah membintangi sebuah filem popular itu ditahan polis bersama-sama adiknya untuk siasatan.
Difahamkan, penggambaran drama yang dilakonkannya juga terganggu seketika akibat penahanan berkenaan. Tetapi, apabila si pelakon tadi datang semula ke lokasi, lain pula cerita yang dibawanya. Kononnya, si suami tadi sudah meminta maaf daripadanya dan menyesal kerana membuat laporan polis.
Si suami juga, katanya, sudah berhasrat menceraikan isterinya itu.
Kru penggambaran dengar sajalah cerita si pelakon itu walaupun dalam hati mereka mungkin berkata: “Yang kau dua beradik pergi angkut isteri orang ke sana sini, untuk apa? Bukankah ramai lagi perempuan bujang yang wujud di Malaysia?”
petikan dari web